Tuesday, December 29, 2015

Perasan Yang Tak Berapa Perasan

1995.

Masa tu aku sekolah rendah. Baru naik darjah 2. Masa tu budak-budak Tahap 1 (Darjah 1-3) sekolah sesi petang. Budak-budak Tahap 2 (Darjah 4-6) sekolah sesi pagi. Aku dengan kakak aku beza 4 tahun. Waktu tu dia darjah 5 sekolah sesi pagi. Kalau siang kat rumah memang tak berjumpa sebab waktu balik sekolah dia dengan waktu masuk sekolah aku bertembung. Jumpa masa aku balik sekolah petang je. Itu pun, sesi sekolah agama aku pagi, kakak aku petang.

Aku tak peramah dan tak ramai kawan. Selalunya, kawan yang tegur dulu pada awal perkenalan. Aku selalu perkenal diri dengan nama penuh. Oleh kerana nama aku agak rare, diorang macam susah sikit nak menyebut. Akhirnya, diorang panggil aku guna pangkal suku kata pertama nama. Mula-mula agak peliklah sebab keluarga aku panggil guna gelaran hujung pangkal nama. Lama-lama aku okay. Kadang-kala bila ada kawan baru tanya ‘nama awak siapa?’, aku blur nak bagitahu nama penuh ke nama pendek. Bila aku sebut nama penuh, respon yang aku dapat ‘eh, peliknya nama awak’ sambil cerun-cerun mata, kerut-kerut muka. Jadi, aku kontotkan nama macam kawan-kawan aku selalu panggil nama aku.

Aku waktu kecil-kecil macam budak lelaki sikit. Trademark aku rambut pendek. Tak pernah berambut panjang macam anak perempuan lain. Pakai pinafore dari Darjah 1-4. Darjah 5 dah pandai malu, minta mak buat baju kurung. Nasib aku tak pengkid je. Ciri tomboy dalam diri mula cambah masa aku Darjah 4.

Balik semula tahun 1995.

Masa tu tengah hot  pasal kumpulan muzik pop. Macam-macam boyband/girlband tumbuh di arena muzik Malaysia ni. Masa tu kumpulan muzik girlband yang meletup, kumpulan Feminin. Kumpulan Feminin ada 4 orang, sedang elok masa tu aku dengan kawan-kawan aku memang 4 orang. Yang aku cuma tahu nama kumpulan Feminin dengan lagu-lagu diorang je. Aku tak pernah ambil tahu pun nama setiap seorang ahli. Tiba-tiba satu hari kat sekolah, kawan-kawan aku semua pakat nak jadi macam kumpulan Feminin. Siap cop siapa jadi siapa. Aku tak tau nama diorang jadi aku diam diri. Memandangkan aku memang tak tahu nama ahli, kawan-kawan pakat aku jadi As. Dengar nama macam tak cantik je orangnya. Nama As tak se-glamour Watie, Deq Nor. Masa diorang bagitau aku ‘ha kau! Kau lah jadi As’. Ada macam telinga kera dalam otak aku. ‘siapa As nih? Tak sedaplah nama. Mentang-mentang korang tau nama boleh lah cop nama sedap sikit’. Jadi, aku redha walaupun malu nama As tu tak sedap. 1 hari kitorang asyik menyanyi lagu Feminin sampai habis tamat waktu sekolah.

Balik rumah, aku tetap memikirkan As tu yang mana satu.

Hujung minggu pun tiba. Mak aku suka tengok rancangan Melodi. Aku pun tertengok rancangan hiburan gosip Malaysia tu. Waktu tu ada keluar gosip tentang Feminin. ‘eh, ni ke As? Lawo’. Aku sengih sorang-sorang depan tv. Mak aku tanya ‘apesal sengih-sengih depan tv?’. Aku cakap ‘takde apa-apa mak. Kawan-kawan kita semua panggil kita As’ sambil tunjuk muka As di kaca tv. Mak jawab ‘eh, perasan! Tang rambut je sama. Lain tak sama’.

Kecik hati kita wak!

Sejak daripada tu, aku dah tak malu dah kawan-kawan panggil aku As Feminin. Hahaha!