Tuesday, April 28, 2015

Lain Manusia Lain-Lain Hidupnya


Macam mana nak buat hidup kau lebih best?
Lebih bermakna?
Lebih ‘hidup’?
Lebih mendalam?
Lebih memorable?

Aku suka tengok kehidupan orang lain. Aku sentiasa berasa kehidupan orang lain itu lebih baik. Sudut positif yang orang lain itu tonjolkan sangat menarik perhatian aku. Kadang-kadang aku berasa, adakah hidup aku tak boleh jadi sebaik dia? Adakah nasib dan rezeki hidup aku semurah dia? Ini bukan satu keluhan ketidaksyukuran. Tetapi ini adalah luahan manusia yang memandang sisi manusia yang lain. Sejujurnya, aku berasa rendah diri dan kerdil jika hidup aku dibandingkan dengan orang lain.

Tetapi,

Allah swt maha adil kepada setiap makhluknya. Perjalanan hidup aku sangat bermakna, mendalam, hidup, dan sentiasa memorable (diingati). Setiap ujian yang dititikkan dalam hidup aku sangat mengajarkan aku tentang perasaan, hati, emosi, dan akal fikiran. Tidak pernah sekali aku menyangka, 28 tahun selama aku hidup telah pelbagai perkara berlaku dalam waktu singkat. Tidak pernah sekali pun aku menyangka, seawal usia 20 tahun, cerita dan takdir hidup aku telah bermula. Bagaimana kita mahu melaluinya? Ia terpulang cara kita mengemudinya. Jujur, ia sangat menekan perasaan aku.

Kehilangan kedua ibu bapa sangat mengajarkan aku tentang tingginya kasih sayang ibu ayah, tingginya darjat doa kedua-duanya, tingginya martabat bagi keduanya. Peristiwa ini mendidik aku menjadi lebih menghargai yang tersayang, juga mendidik aku bahawa dunia ini sementara. Tiada yang kekal melainkan Tuhan. Aku hanya menumpang kasih kedua mertua, tetapi sudah tentu tidak sama. Tidak sama sebagaimana kasih kedua ibu bapa kita. Bukan hendak membanding, itu hakikat. Sebagai seorang manusia yang sentiasa mahukan kasih sayang dari seorang manusia yang lain, sudah tentulah aku amat berharap dengan kasih sayang seorang suami. Harapan yang sentiasa dibawa sehingga mati. Terima kasih kerana sentiasa mengajarkan aku menjadi seorang yang betul-betul isteri walaupun ia sukar bagi dirimu. Tidak banyak, tetapi aku berubah. Suatu kejayaan bagi dirimu wahai suamiku...

Kini, sedaya upaya aku ingin menolak sebarang konflik dalam hidup aku. Terlalu banyak konfilk berlaku dan ia sentiasa mengganggu dan menekan emosi. Aku cuba dan sentiasa terus mencuba untuk mengelakkan konflik. Apakan daya, hidup manusia sentiada ada konflik. Kadang-kala dengan diri sendiri aku pun boleh berkonflik. Bezanya sekarang, aku lebih baik dalam menangani konflik hidup sendiri. Jika dulu, aku sentiasa mengikut emosi dan terlalu mengikut hati untuk meluahkan apa yang dirasai, kini aku mengambil pendekatan untuk memujuk hati. Biarlah manusia lain mengatakan apa pun, masuk telinga kanan keluar telinga kiri, yang dikatakan baik aku ambil, yang dikatakan tidak baik aku buang jauh-jauh. Berusaha memujuk dan senyum kepada hati sendiri. Tidaklah 100% menjadi pun, tetapi aku tahu diri aku jauh banyak berubah dari dahulu.

Berkenaan dengan kehidupan orang lain, aku fikir “ah, rezeki masing-masing”. Hidupku dengan rezekiku. Apa yang diberi Allah swt, aku amat mensyukurinya. Sekarang aku terfikirkan, kalau kau nak benda yang baik dalam hidup orang lain terjadi dalam hidup kita, adakah kita mahu benda yang sompek dalam hidup dia terjadi dalam hidup kita? Hidup kita adalah bahagian kita. Setiap manusia ada bahagian dan perjalanan suka duka. Begitu juga dengan hidup aku dan kita semua.

Aku sentiasa belajar dan masih belajar untuk lebih bersyukur dan tidak akan berhenti untuk bersyukur.
Ingatan untuk diri, sentiasalah sabar.

Oh ya, macam mana nak buat hidup kau lebih best?
Itu kau kena tanya orang yang sentiasa positif dan sangat positif dalam kehidupannya.
Aku? Dah tentu tak.